Pages

Friday, December 31, 2010

Home » » Kedatangan 2011 disambut meriah di seluruh negara

Kedatangan 2011 disambut meriah di seluruh negara


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Kedatangan tahun baru 2011 diraikan penuh meriah oleh rakyat berbilang kaum terutamanya di majlis-majlis ambang tahun baru yang dianjurkan di seluruh negara.

Pada detik tengah malam bandar-bandar utama negara termasuk ibu kota Kuala Lumpur digegarkan dengan dentuman bunga api di beberapa lokasi acara sambutan, menjadikan langit cerah dihiasi cahaya memukau yang berwarna warni.

Pengguna jalan raya di pusat bandar terutamanya, memberhentikan kenderaan seketika bagi menghayati keindahan percikan bunga api yang menampilkan pelbagai keunikkan dari segi gaya persembahan.

Pelbagai pihak turut menganjurkan persembahan konsert yang menampilkan artis-artis popular tanah air bagi memeriahkan “countdown” tahun baru.

Di KUALA LUMPUR, lebih 70,000 orang membanjiri Dataran Merdeka, di mana kebanyakan ibu bapa yang membawa anak-anak mereka dan golongan muda sudah mula berhimpun di dataran itu seawal pukul 6 petang lagi untuk mengikuti persembahan yang disediakan di konsert anjuran Kumpulan AmBank.

Artis-artis popular di konsert kali keenam anjuran bank tersohor itu termasuk Mizz Nina, Amy Search, Daniel Lee, Datuk David Arumugam, Ramlah Ram, Pop Shuvit dan juga Ernie.

Acara sambutan itu turut dihadiri Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup, dan Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim, yang turut menympaikan empat buah lagu, dan acara itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran TV2.

Di Taman KLCC pula kira-kira 40,000 pengunjung terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong asing membanjiri taman awam di kawasan pusat beli belah Suria KLCC itu seawal pukul 5 petang lagi.

Pengunjung disajikan dengan persembahan memukau symphony fountain show, tarian zapin, gendang Cina dan juga tarian Bhangra sebelum percikan bunga api memenuhi langit tepat pukul 12 tengah malam.

Sementara itu, kawasan Jalan Bukit Bintang pula meriah dengan konsert ”Going Gaga 2011” yang dijayakan oleh artis-artis tempatan dan asing di perkarangan pusat beli-belah Pavilion.

Kira-kira 25,000 orang rakyat tempatan dan pelancong asing membanjiri kawasan sekitar Jalan Bukit Bintang di persimpangan lampu isyarat di hadapan Bangunan Yayasan Selangor yang ditutup kepada semua kenderaan sejak awal pagi tadi.

Di Genting Highlands, kira-kira 80,000 pengunjung membanjiri kawasan pusat peranginan itu bagi meraikan ketibaan tahun baru.

Walaupun pertunjukan bunga api tidak dapat diadakan ekoran keadaan cuaca yang buruk, para pengunjung tetap dihiburkan dengan pelbagai persembahan hiburan oleh beberapa artis terkemuka. - Bernama


sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...